SETIAP kali dia berputus asa, ada sahaja individu-individu yang menyuntik semangat kepadanya. Kepada Ong Hock Siew, 50, sembilan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) itulah yang telah merealisasikan impiannya.
Walaupun bahagian kanan tubuh Muhd. Syazani Sazali, 23, agak lemah, namun semangatnya untuk hidup tidak pernah luntur. Muhd. Syazani merupakan salah seorang daripada remaja OKU yang membakar semangat Hock Siew.
Dia adalah salah seorang daripada sembilan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang bekerja dan menjadi teman niaga Stesen Dobi OKU di pusat beli-belah Mid Valley. Kedai dobi yang terletak di aras bawah P2, A43, Mid Valley, Stesen Dobi OKU itu menjadi simbol kebanggaan golongan OKU secara menyeluruh.
“Saya mahu kami menjadi contoh kepada rakan-rakan senasib. Saya percaya usaha ini akan mengubah persepsi orang ramai terhadap OKU.
“Kami mahu buktikan bahawa kami juga boleh berjaya,” kata Muhd. Syazani yang duduk di kerusi rodanya.
Sebelum menyertai Stesen Dobi OKU, dia bekerja makan gaji di sebuah pusat beli-belah. “Saya pernah bekerja sebagai penjual selama setahun. Selepas itu, saya berhenti dan ketika berehat di rumah, saya dimaklumkan tentang peluang ini,” ceritanya.
Mazayu Kasan, 40, selaku pelatih OKU memberitahu, Hock Siew mengetengahkan ideanya mengenai perniagaan tersebut kepada rumah Amal Chessire di Selayang, Selangor.
Bertanggungjawab mengumpul, memilih dan melatih remaja terbabit dalam bisnes dobi, Mazayu juga banyak membantu dan melancarkan operasi perniagaan itu.
Cabaran berniaga
“Cikgu banyak melatih kami. Saya rasa seronok berniaga dan percaya pengalaman ini akan membentuk saya menjadi seorang usahawan untuk membuka kedai dobi sendiri pada masa depan,” tegas Muhd. Syazani yang berjanji untuk memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada golongan OKU yang lain.
Kata Muhd. Syazani, antara cabaran berniaga di pusat beli-belah terkemuka itu ialah apabila berdepan dengan pelanggan berbangsa asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris. “Saya cuba melayan mereka semampu yang boleh. Biasanya saya faham apa yang mereka katakan,” kata Muhd. Syazani yang boleh bertutur dengan lancar berbanding remaja lain yang menghidap masalah pertuturan akibat sindrom Down atau ketidakupayaan belajar.
“Syazani dan Roszilawati lebih berani berdepan dengan pelanggan. Mereka boleh berkomunikasi,” kata Mazayu. Roszilawati Rosli, 21, atau lebih mesra dengan panggilan Ros. Dia merupakan seorang gadis yang memiliki perwatakan menarik dan boleh berkomunikasi dengan baik.
“Sebelum bekerja di sini, saya bekerja di salon di Sentul. Tetapi selepas mendapat tawaran ini, dengan sokongan keluarga saya menyertai kumpulan ini,” kata gadis bertubuh kecil itu.
Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu, jika diberi pilihan antara berdandan atau menjalankan perniagaan dobi, dia lebih selesa memilih dobi kerana bisnes itu menjamin masa depan di samping dapat membimbingnya mempelajari selok-belok dunia perniagaan.
Salina menggosok pakaian pelanggan.
--------------------------------------------------------------------------------
Kata Mazayu, sebilangan remaja tersebut mempunyai pengalaman bekerja di bahagian dobi di Hotel Grand Dorsett di Subang Jaya manakala sebahagian yang lain mendapat latihan di pejabat WorldwidePreneur di Jaya One di Petaling Jaya.
“Orang ramai tidak perlu pandang rendah atau meragui kebolehan mereka. Usaha seperti ini membuktikan kemampuan mereka. Walaupun ada OKU yang lemah dari segi mental, tetapi hakikatnya mereka bukan golongan yang tidak waras. Sebaliknya, mereka adalah golongan slow learner. Mereka mungkin perlahan dari aspek menggunakan minda seperti membaca atau mengira tetapi mereka boleh melakukan kerja-kerja fizikal. Saya percaya mereka akan menerima cabaran berniaga sama seperti mana-mana orang biasa,” kata Mazayu.
Pengalaman bekerja
Bagi menguruskan perniagaan itu, Mazayu turut dibantu oleh Qariah Saini, 23, dan kesembilan-sembilan ibu bapa remaja tersebut.
“Ibu bapa mereka bertanggungjawab membuat kiraan akaun, pembayaran, pembelian dan sebagainya secara bergilir-gilir,” tambah Mazayu. Bagi Amirah Muhd. Sardi, 23, kesungguhan gadis muda itu bekerja jelas terpancar di wajahnya. Amirah yang pernah bekerja di sebuah salon rambut berkata, dia seronok bekerja di kedai dobi kerana mempunyai ramai kawan.
Walaupun gagap, anak bongsu daripada lima beradik itu tetap menjawab soalan-soalan yang dilontarkan kepadanya.
Seorang lagi remaja lelaki yang agak pendiam tetapi murah dengan senyuman, Anuar Firdaus Rosman, 23, yang mempunyai masalah ketidakupayaan belajar lebih selesa berkomunikasi dengan rakan-rakannya.
“Saya pernah kerja di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur di bahagian dobi. Semasa bekerja di situ saya membuat kerja-kerja seperti seterika baju, memasukkan pakaian dalam mesin basuh dan menjaga meja resepsi,” jawabnya dalam nada perlahan.
“Anuar sangat rajin, tetapi dia akan tunggu arahan. Dia tidak mencari kerja tetapi melakukan apa yang disuruh dan lebih gemar membuat kerjanya sendiri,” kata Mazayu. Tambah beliau, selain berpengalaman, Anuar dipilih kerana sangat aktif dalam pelbagai aktiviti ketika bersekolah di Sepang.
“Dia menerima banyak anugerah di sekolah antaranya Anugerah Sahsiah. Dia juga bertuah kerana mempunyai bapa yang banyak memberi sokongan dan mengambil berat tentang dirinya,” kata Mazayu merujuk kepada pesara Rosman Muji, 45, bapa kepada Anuar.
Menurut Rosman, Anuar dilatih menggunakan pengangkutan awam untuk berulang alik dari rumah ke Stesen Dobi OKU.
Rosman ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut meluahkan keterujaan dan sokongan yang tidak berbelah-bagi atas usaha Hock Siew yang bakal membawa perubahan besar dalam hidup anaknya itu. “Mereka akan belajar berdikari dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk memajukan diri.
“Lambat-laun mereka boleh menjadi seperti orang lain,” luahnya. Rosman yakin, perniagaan konsep OKU dengan bantuan ibu bapa adalah satu perancangan yang boleh dilaksanakan selama-lamanya.
Seorang lagi remaja OKU, Nabin Romli, 19, memberitahu, dia selesa bekerja daripada duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa. “Saya pernah menyertai kursus automobil baiki motor tetapi berhenti kerana kursus tersebut untuk mereka yang bisu,” kata anak kepada pegawai bank yang juga mempunyai masalah yang sama seperti Anuar.
Menurut Nabin, di rumah selain bermain Play Station 2 (PS2) dan dia juga mempelajari muzik gamelan selama dua tahun
sumber : kosmo 9.11.2010
No comments:
Post a Comment